Thursday, August 26, 2010

PENYAKIT BAWAAN LALAT PASIR - AGAS

Penyakit Bawaan Lalat Pasir - Agas

Oleh: Najibah Hassan ( Dipetik dari Pendidikan Utusan )

APABILA menyebut agas, pasti sebahagian besar daripada kita akan mentafsirkannya dengan pelbagai bentuk mengikut pemikiran dan pemahaman sendiri.

Bagaimanapun, terdapat sejenis agas yang termasuk dalam kumpulan serangga atau lebih tepat dikenali sebagai lalat pasir (sand fly) yang mengancam kehidupan manusia.

Pegawai Penyelidik Bahagian Kaji Serangga Perubatan , Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Khadri Shahar memberitahu sama seperti nyamuk, lalat pasir juga memainkan peranan penting

dalam menyebarkan beberapa penyakit tertentu kepada manusia.

Menurut beliau, agas boleh dibahagi kepada dua kumpulan iaitu Phychodidae (lalat pasir) dan kumpulan kedua chironomidae (penggigit kenit).

Penggigit kenit biasanya terdapat di kawasan berhampiran pantai, paya bakau dan hutan.

Mereka biasanya menyerang haiwan atau manusia secara berkumpulan dan menyebabkan rasa

gatal.

``Penggigit kenit ini biasanya tidak membawa penyakit yang berbahaya kepada manusia.

``Bagaimanapun, penggigit kenit seperti Culicoides ini hanya mengancam kehidupan

haiwan,''jelasnya.

Berbeza dengan lalat pasir, ia boleh mengakibatkan kematian atau kecacatan teruk sekiranya tidak dirawat.

Khadri memberitahu, walaupun lalat pasir di Malaysia tidak membawa penyakit, namun di

kebanyakan negara tertentu ia merupakan salah satu spesies serangga pembawa penyakit yang berbahaya kepada manusia.

Menurut beliau, lalat pasir ini merupakan pembawa penyakit leishmaniasis atau di kalangan masyarakat India dipanggil sebagai kala azar yang bermaksud demam hitam.

Di sesetengah negara seperti Amerika Tengah dan Selatan, Afrika Eropah, Benua Arab, India, Bangladesh, Nepal dan China biasanya penyakit leishmaniasis yang sering berlaku ialah dari jenis leishmaniasis kulit dan viseral (organ dalaman).

Lalat dari spesies ini agak berbahaya kerana sesetengahnya merupakan pembawa parasit Leishmania yang boleh mengakibatkan Leishmaniasis.

Khadri memberitahu, di negara ini lalat pasir ini lebih tertumpu di kawasan gua, hutan, tanah gambut dan berhampiran kawasan haiwan ternakan seperti lembu.

Kajian di kawasan-kawasan gua mendapati spesies serangga ini mula aktif kira-kira pada jam 9 malam dan berakhir jam 4 pagi.

Kitaran hidup lalat pasir sama seperti lalat rumah iaitu bermula dari telur, berengga, kepompong dan dewasa.

Lalat pasir dewasa berbadan kecil iaitu antara tiga hingga empat kali ganda lebih kecil berbanding nyamuk Aedes.

Rupa bentuk lalat ini bongkok dan berwarna kekuning-kuningan, mempunyai sepasang mata majmuk hitam dan kaki yang panjang serta halus.

Sayapnya sentiasa terbuka ke atas ketika berehat dan diselaputi oleh banyak bulu halus pada keseluruhan badan dan sayapnya.

Lalat pasir ini kerap bergerak secara melompat dan bila terbang biasanya tidak melebihi lima meter dari paras permukaan tanah atau tidak jauh dari tempat ia membiak.

Sama seperti nyamuk, lalat pasir memerlukan darah untuk menghasilkan telur di mana sumber utama makanan mereka ialah kelawar dan kera.

Namun, lalat pasir juga berkeupayaan menghasilkan telur tanpa menghisap darah.

Bagaimanapun, hanya lalat pasir betina sahaja yang menghisap darah.

Seekor lalat pasir betina mampu menghasilkan antara 30 hingga 50 biji telur yang berwarna hitam dan bujur.

Ia akan bertelur di tempat gelap, lembap, di bawah daun-daun reput di atas tanah, di tempat lembap dan berlumut dan di dalam batang kayu yang berlubang.

Telur ini akan menetas dalam masa antara 9 hingga 12 hari di mana berenga ini hidup dengan memakan bahan-bahan organik.

Bagaimanapun, peringkat telur , berengga dan kepompong sukar ditemui secara semulajadi.

Lalat pasir biasanya mencari makanan pada waktu malam dan bersembunyi di tempat-tempat gelap pada siang hari.


Tempat Pembiakan Lalat Pasir

Di Malaysia, kawasan pembiakan lalat pasir biasanya di dalam dan berhampiran kawasan gua, lubang-lubang pokok di pinggir dan dalam hutan.

Ia juga banyak ditemui di kawasan ternakan haiwan seperti lembu.

Biasanya, ia banyak ditemui di tempat gelap, lembap terutama sekali pada musim hujan.

Sebaliknya, di India lalat pasir banyak ditemui dan gemar berehat di dalam rumah seperti di dinding kerana kebanyakan penghuninya gemar melapiskan najis lembu di lantai rumah

.

Selain itu, lalat pasir ini gemar menghisap darah haiwan peliharaan atau ternakan seperti anjing dan lembu.


Jenis-Jenis Lalat Pasir

Secara umumnya, terdapat enam kumpulan lalat pasir yang boleh menggigit iaitu Lutzomiya, Brumptomyia, Warileya, Phlebotomus, Sergentomyia dan Chinius.

Bagaimanapun, hanya spesies Phlebotomus dan Lutzomyia terbukti menjadi pembawa parasit Leishmania.

Spesies ini tersebar luas di kawasan beriklim panas dan sederhana.

Daripada dua kumpulan lalat pasir ini terdapat hampir 500 spesies.


Penyakit Yang Dikaitkan Dengan Lalat Pasir

  1. Gatal dan alahan

    Gigitan lalat pasir betina biasanya mengakibatkan bintat di tempat gigitan.

    Keadaan ini biasanya disertai dengan rasa sakit yang mencucuk, kadang kala diikuti denga rasa yang sangat gatal selama beberapa jam atau minggu.

    Kesannya, ia menimbulkan rasa tidak selesa.

    Sesetengah individu yang alah akan mengalami tindak balas yang teruk, bengkak di tempat gigitan dan demam.

  2. Demam Oroya

    Demam akut ini hanya terdapat di negara-negara Amerika Selatan yang dikenali penyakit Bartonellosis akibat bakteria Bartonella.

  3. Demam Lalat pasir

    Ia merupakan demam yang tidak kuat seperti demam selesema yang disebabkan beberapa jenis arbovirus.

    Ia juga dikenali sebagai demam tiga hari biasanya berlaku di negara tropika dan separuh tropika.

    Bagaimanapun, sehingga kini tidak laporan berhubung virus ini ditemui pada lalat pasir di

    negara ini.

  4. Leishmaniasis atau Kala Azar

    Ia merupakan penyakit utama yang disebarkan oleh lalat pasir.

    Leishmaniasis yang pertama dihuraikan pada tahun 1903 oleh Leishman dan Donovan.

    Pada satu peringkat, penyakit ini sering disalah tafsirkan sebagai penyakit Kusta kerana ciri-cirinya yang seakan-akan sama.

    Selain manusia, penyakit ini juga mempunyai perumah yang terdiri daripada tikus, anjing, lembu, tenggiling, cicak dan lain-lain lagi.

    Meskipun terdapat banyak lalat pasir dilaporkan di negara ini, namun tiada kes leishmaniasis dilaporkan daripada penduduk tempatan.

Leismaniasis ini boleh dibahagikan kepada tiga jenis iaitu :

  1. Leishmaniasis Viseral (Kala Azar)

    Penyakit ini disebabkan sejenis protozoa leishmania donovani yang disebarkan melalui gigitan lalat pasir seperti spesies phlebotomus argentipes.

    Umumnya, penyakit ini mengakibatkan pembesaran organ seperti limpa, suhu badan yang meningkat dua kali dalam tempoh 24 jam, tanpa sakit kepala yang teruk, berat badan menurun dan sebagainya.

    Di India, leismaniasis viseral lebih dikenali sebagai kala azar yang bermaksud demam hitam kerana penyakit ini mengakibatkan kehitaman pada kulit muka, tangan , kaki dan badan.

    Kes-kes seumpama ini banyak terjadi di India, Bangladesh dan Sudan.

    Di negara ini, penyakit ini banyak ditemui di kalangan warga asing.

  2. Leishmaniasis kutis (kulit)

    Penyakit yang berpunca daripada protozoa leishmania tropica atau leishmania major disebarkan oleh lalat pasir spesies phlebotomus papatasii.

    Ia mengakibatkan penyakit kulit dengan ketumbuhan seperti biji yang menghodohkan.

    Kes seumpama ini banyak terjadi di India, Eropah, Pakistan, Afrika tropika hingga ke selatan Rusia.

    Bagaimanapun, lalat pasir dan penyakit ini tidak pernah dilaporkan di negara ini.

  3. Leishmaniasis mukokutis (kulit dan mulut)

    Penyakit yang disebabkan oleh protozoa Leishmania braziliensis ini disebarkan melalui gigitan lalat pasir Lutzomyia longipalpis.

    Ia merupakan sejenis penyakit kulit yang sangat hodoh di mana ia menyebabkan seseorang kudung anggota hidung, mulut dan telinga.

    Kes-kes seumpama ini banyak berlaku di Amerika Selatan dan Afrika tropika.

    Bagaimanapun, spesies dan penyakit seumpama ini tidak wujud di negara ini.


Rawatan

Penyakit leishmaniasis boleh dirawat dengan beberapa jenis ubat tertentu seperti garam antimoni.

Bagaimanapun, pesakit mesti mendapat rawatan yang betul dan teratur dari doktor yang faham berhubung penyakit ini.


Kebaikan Lalat Pasir

Dalam ekosistem, lalat pasir ini memainkan peranan dalam meluputkan bahan-bahan organik.

Ia juga merupakan sumber makanan kepada haiwan seperti cicak dan labah-labah yang tinggal di hutan dan di gua.